Kuala Lumpur: Nestlé Malaysia dan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) memperbaharui kerjasama untuk tempoh tiga tahun lagi bagi memperkukuh usaha mengurangkan pembaziran makanan serta membantu komuniti memerlukan di seluruh negara.

Nestlé Malaysia dalam kenyataan berkata, kerjasama yang bermula pada 2020 itu menyaksikan syarikat menyumbang produk makanan dan minuman bernilai lebih RM7 juta menerusi inisiatif pengagihan semula makanan dan bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan bersama YFBM.

Katanya, menerusi memorandum persefahaman (MoU) baharu itu, Nestlé Malaysia akan terus menyalurkan lebihan produk berkualiti yang masih sesuai dimakan, manakala YFBM menyelaras pengagihannya kepada penerima secara selamat dan bertanggungjawab.