Kuala Lumpur: Siasatan semula terhadap dakwaan penerimaan wang RM350,000 oleh seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti dilaksanakan secara bebas, menyeluruh, telus dan tanpa sebarang konflik kepentingan.

Itu penegasan utama Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) yang menetapkan prasyarat berkenaan bagi merungkai kembali 'misteri fail 2018' yang pernah ditutup oleh suruhanjaya itu.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyambut baik penubuhan pasukan khas oleh SPRM, namun menegaskan tugas mereka bukan sekadar menyemak semula kertas siasatan lama.

Beliau berkata, pendedahan SPRM bahawa kes berkenaan pernah ditutup pada 2018 atas alasan 'tiada bukti' mencetuskan keraguan secara langsung terhadap kewibawaan siasatan lapan tahun lalu itu.