PEKAN: Bekas pengetua sebuah sekolah di Kuantan, dekat sini rugi lebih RM1.1 juta kerana dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata mangsa berusia 65 tahun membuat laporan semalam apabila menyedari tertipu selepas melakukan 22 transaksi kewangan antara 21 Ogos hingga 7 Oktober lalu.

Semua transaksi itu dilakukan secara dalam talian dan di kaunter bank berbeza di Pekan serta Kuantan.

Berdasarkan laporan, mangsa menggunakan wang simpanan, menjual tanah dan pinjaman untuk melabur dalam skim pelaburan tidak wujud itu.