SEYCHELLES: Populasi kura-kura gergasi Aldabra yang sebelum ini diancam kepupusan kini mencecah 180,000 ekor, mengatasi jumlah penduduk manusia di Seychelles yang dianggarkan sekitar 122,000 orang.

Tinjauan yang dijalankan Yayasan Kepulauan Seychelles (SIF) bersama Universiti Exeter di United Kingdom (UK) menganggarkan kira-kira 180,000 ekor kura-kura gergasi hidup di Atol Aldabra, sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi pernah direkodkan bagi spesies itu.

Anggaran itu menunjukkan spesies tersebut bukan sahaja berjaya bertahan daripada ancaman kepupusan, malah kini mempunyai populasi yang jauh melebihi penduduk di negara kepulauan kecil di luar pantai timur tanah besar Afrika.

Atol Aldabra merupakan antara hanya dua lokasi di dunia yang menjadi habitat semula jadi kura-kura gergasi, manakala satu lagi populasi yang jauh lebih kecil terdapat di Kepulauan Galapagos, Ecuador.