PETALING JAYA: Kelayakan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menikmati penangguhan bayaran balik pinjaman akan ditentukan berdasarkan pengesahan maklumat pendapatan melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif kerajaan bagi memastikan komitmen bayaran balik pinjaman disesuaikan dengan kemampuan kewangan peminjam.
Menurutnya, peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan layak menikmati penangguhan bayaran balik, manakala mereka yang memperoleh pendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran minimum RM50.






