KOTA TINGGI: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) bukan jaminan kapal-kapal berkenaan akan dapat disiapkan dengan segera, setelah berdepan kelewatan.

Sebaliknya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat pembuat kapal berkenaan perlu memberi komitmen dengan menyegerakan pembinaannya agar tiada lagi kelewatan.

“Mantan Panglima Tentera Laut yang menjadi Pengerusi Boustead Naval Shipyard sudah dihadapkan di mahkamah, sudah didakwa. Jadi soal kapal LCS siap atau tak bukan bergantung kepada RCI, itu soal lain.

“Sebab itu kita minta supaya pembuat kapal itu sekarang menyegerakan dan memastikan tiada lagi kelewatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Program Tuaian Pertama Halia KayTi JanaVeteran dan Pelancaran JanaKomuniti di Felda Air Tawar 3, di sini hari ini.