IPOH: Kerugian akibat bencana di Malaysia menurun kepada RM636.9 juta pada 2025 berbanding RM933.4 juta pada 2024 hasil kesiapsiagaan awal dan tindakan mengurangkan risiko bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kesiapsiagaan perlu menjadi keutamaan dalam usaha melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian ekonomi akibat bencana.
"Matlamat utama kita bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa, tetapi juga melindungi kediaman, menjaga mata pencarian serta hasil usaha rakyat.
"Dalam hal ini, sistem amaran awal memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Ukuran kejayaan kita bukan sekadar keupayaan bertindak ketika bencana berlaku, tetapi sejauh mana kita mampu melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian," katanya.









