KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan serta pengenalan gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, berpotensi meningkatkan kuasa beli rakyat, memperkukuh produktiviti dan menambah baik struktur penggajian negara.

Pensyarah dan wakil kesatuan sekerja berpendapat, inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menerusi Belanjawan 2027 pada Jumaat dapat memastikan ganjaran lebih setimpal dengan kelayakan dan kemahiran pekerja, sekali gus meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Rahim Khamis berkata pembayaran gaji setimpal dengan kelayakan dan kemahiran pekerja dapat mendorong peningkatan produktiviti, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.