Kajang: Pernah dilabel pengemis dan penagih dadah ketika membaiki kasut di kaki lima, seorang tukang kasut membuktikan pekerjaan itu mampu menjadi sumber rezeki sehingga membolehkannya membina perniagaan sendiri.

Bagi Mohammad Norazmi Hadnan, 39, pandangan serong masyarakat tidak pernah mematahkan semangatnya untuk mengembangkan kemahiran membaiki kasut yang dipelajari daripada bapanya, Hadnan Hassan, 68.

Kini dia mengusahakan perniagaan yang memiliki tiga kedai dan sebuah akademi selain menawarkan pelbagai perkhidmatan membaiki kasut, beg, topi serta pakaian.

Berkongsi perjalanan kerjayanya, Norazmi berkata, dia mula membaiki kasut secara sambilan pada 2015 hingga 2016 ketika bekerja dalam bidang pemasaran dan khidmat pelanggan di sebuah syarikat antarabangsa.