GEORGETOWN: Pihak berkuasa agama perlu menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus berhubung dakwaan seorang individu beragama Islam menyertai ritual keagamaan bukan Islam yang tular di media sosial.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, berkata isu berkenaan amat serius kerana membabitkan kesucian akidah umat Islam, khususnya jika membabitkan penyertaan dalam upacara pemujaan, penyembahan atau ritual yang bertentangan dengan prinsip tauhid.
Islam mengiktiraf kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun umat Islam perlu memelihara batas akidah yang tidak boleh dikompromi.
"Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa', ayat 48, yang bermaksud: 'Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepada-Nya dan Dia mengampunkan dosa selain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.'








