Pembangunan akar umbi, bakat muda dan kemudahan sukan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan peruntukan Belanjawan MADANI 2027 memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nazmizan Muhammad berkata, pelaburan dalam sektor sukan, pelancongan dan industri kreatif mampu membuka peluang pekerjaan, membangunkan bakat serta merancakkan ekonomi tempatan.
Menerusi Belanjawan MADANI 2027, sebanyak RM240 juta diperuntukkan bagi persiapan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, manakala RM460 juta disediakan untuk pembangunan sukan negara.
Selain itu, RM935 juta diperuntukkan bagi sektor pelancongan dan kebudayaan, manakala lebih RM130 juta disalurkan kepada industri kreatif.








