KUALA LUMPUR: Kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka meningkat kepada RM73.3 bilion pada 2027, sekali gus menghampiri keupayaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjana hasil kerajaan sebelum dimansuhkan, demikian menurut Standard Chartered.
Bank terkemuka dunia itu menerusi unjuran dalam satu laporan penyelidikan menganggarkan kutipan SST bersamaan 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 sebelum meningkat kepada 3.2 peratus pada 2027, hampir menyamai purata kutipan GST sebanyak 3.3 peratus daripada KDNK pada 2016 hingga 2017.
Perkembangan itu menunjukkan jurang hasil antara SST dan GST yang wujud selepas pemansuhan cukai berkenaan kini hampir tertutup, berdasarkan unjuran dalam laporan penyelidikan Standard Chartered bertarikh 9 Oktober 2026.








