SHAH ALAM: Industri perfileman tempatan perlu berhenti menyalahkan penonton apabila sesebuah karya gagal mendapat sambutan, sebaliknya berani menilai semula pendekatan dari aspek kualiti, pemasaran dan nilai komersial, kata penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor.
Rosyam, 59, berkata, kegagalan sesebuah filem di pawagam tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu penonton, sebaliknya pihak produksi perlu berani menilai semula strategi dan pendekatan digunakan dalam menghasilkan serta memasarkan karya.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd berkata, senario semasa industri perfileman tanah air menuntut penggiat seni mengambil kira pelbagai aspek termasuk nilai komersial, populariti pelakon, pengarah serta kekuatan pemasaran, dan bukan sekadar bergantung kepada genre.








