Kuala Lumpur: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan kini berpeluang mengenali spesies pokok hutan terancam di Malaysia melalui sentuhan menerusi penghasilan buku taktil serta Braille hasil kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Buku bertajuk Sentuhan Rimba: Mengenali Biji Benih Spesies Hutan yang Terancam di Malaysia itu dihasilkan menerusi projek Touch2Read, menggabungkan ilustrasi taktil dan tulisan Braille bagi membolehkan pembaca meneroka ciri-ciri fizikal biji benih serta mengenali kepelbagaian spesies hutan negara.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata, inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan khazanah hutan negara dapat dirasai dan dihayati oleh semua pihak termasuk golongan OKU penglihatan.