NAGOYA: Dengan Los Angeles 2028 semakin menghampiri, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui perlu memperlahankan rentak selepas Kejohanan Dunia di Shanghai pada 14 hingga 18 Oktober ini bagi mendapatkan semula tenaga selepas mengharungi musim yang padat.
Azizulhasni membantu skuad negara meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya yang melabuhkan tirai saingan berbasikal semalam.
Pelumba berusia 38 tahun itu memenangi emas keirin lelaki selain gangsa acara pecut individu lelaki di Velodrom Izu, Shizuoka.
Walaupun usia semakin meningkat, Azizulhasni berada pada prestasi terbaik apabila memenangi semua kejohanan keirin utama yang disertainya tahun ini termasuk dua emas pada siri Piala Dunia, Sukan Komanwel Glasgow dan kini Sukan Asia Aichi-Nagoya.








