SHAH ALAM – Kehadiran pemegang tauliah mengajar di masjid dan surau di Selangor bakal dipantau menerusi Rekod Kehadiran Mengajar (RKM) secara menyeluruh mulai tahun depan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, rekod itu akan menjadi antara panduan penting bagi MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam mempertimbangkan permohonan melanjutkan tempoh tauliah.

Menurut beliau, RKM diwujudkan bagi mengenal pasti pemegang tauliah yang benar-benar aktif menjalankan tanggungjawab mengajar termasuk memenuhi jemputan pihak masjid dan surau.