Gua Musang: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 263,608 pemegang kad pemastautin tetap (MyPR) atau MyKad merah di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata jumlah terbabit adalah kumulatif sejak dokumen berkenaan mula dikeluarkan, tanpa tempoh khusus, dengan anggaran purata 10,000 hingga 12,000 pemegang baharu setiap tahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, sehingga hari ini terdapat 263,608 Mykad merah dikeluarkan di seluruh negara.

"Jumlah ini adalah sejak ia dikeluarkan sehingga kini. Kalau nak statistik lima tahun, boleh lah, purata dalam 10,000 ke 12,000 setahun, tapi rekod yang kita ada 263,608 bermula daripada dulu," katanya ditemui pada Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara peringkat Negeri di Pos Balar, di sini, hari ini.