Miami: Jersi legenda bola keranjang, Michael Jordan, yang dipakainya pada aksi kedua final NBA 1998 ketika Chicago Bulls menentang Utah Jazz, terjual pada harga rekod AS$14 juta (RM57.2 juta).
Hunt Auctions semalam mengumumkan bahawa jersi Chicago Bulls yang ditandatangani dan dipakai Jordan ketika perlawanan itu dibeli oleh pelabur hartanah Miami, Ron Firman, menerusi jualan persendirian.
Harga berkenaan menjadi yang tertinggi pernah dibayar untuk barangan memorabilia bola keranjang. Menurut rumah lelong itu, jersi Jordan berkenaan turut menduduki tempat kedua dalam sejarah jualan jersi sukan yang dipakai ketika perlawanan.
Rekod tertinggi masih dipegang jersi New York Yankees milik Babe Ruth yang dipakainya pada perlawanan ketiga Siri Dunia 1932. Jersi itu, yang dikaitkan dengan aksi Ruth memberi isyarat sebelum melakukan pukulan home run, terjual pada harga AS$24.12 juta (RM98.55 juta) pada 2024.









