Kota Kinabalu: Siasatan polis mendapati tiada saksi kejadian yang melihat Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025.

Pegawai penyiasat kes, Inspektor Wong Yew Zhung berkata, tiada mana-mana individu termasuk pengawal keselamatan mahupun warden asrama yang meronda di tingkat tiga blok asrama yang didiami Zara pada malam kejadian.

"Hasil pemerhatian saya juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan asrama yang boleh membekalkan rakaman berhubung insiden itu," katanya ketika membacakan kenyataan bertulisnya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara hari ini.

Menurut Wong, keterangan saksi dalam kalangan pelajar menunjukkan Zara kali terakhir dilihat sekumpulan pelajar kira-kira jam 10 malam pada 15 Julai 2025, selepas dia dipanggil oleh beberapa pelajar Tingkatan Empat berhubung dakwaan kes kecurian.