Kota Bharu: "Sejak kejadian April lalu, isteri tidak lagi memandu kereta kerana trauma dengan apa yang berlaku," kata suami kepada guru yang didakwa dengan dua pertuduhan cuai dan merempuh pelajar Tingkatan Satu sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan.
Lelaki yang yang mahu dikenali sebagai Abdul itu berkata, sejak kejadian itu dia menghantar dan mengambil isterinya di tempat kerja setiap hari.
"Saya tidak mahu ulas lanjut. Dia akan bersara November tahun hadapan dan kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)," katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, guru wanita mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan cuai dengan melanggar pelajar Tingkatan Satu sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, di sini, April lalu.








