Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Perikatan Nasional (PN) untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Azizan Md Arshad menolak permohonan PN untuk penggantungan sementara notis RoS yang dikeluarkan pada 22 September lalu sehingga semakan kehakiman didengar dan diputuskan.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober ini bagi mendengar permohonan PN untuk penggantungan inter-parte notis berkenaan.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam Ivanpal Singh Grewal yang mewakili PN selaku pemohon, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhaffiza Azizan mewakili responden.