Kangar: Saban hari berdepan detik cemas membawa pesakit ke hospital, namun seorang pemandu ambulans sama sekali tidak menyangka dia diuji apabila anak perempuannya disahkan menghidap kanser darah (leukemia).

Muhammad Nur Hafiz Shuid, 41, yang bertugas di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini berkata, anak bongsunya, Nur Iman Sumayyah, 3, disahkan menghidap penyakit kronik itu pada Mei lalu.

Bapa kepada tiga anak itu mengakui, pada awalnya, dia terkejut menerima perkhabaran berkenaan, apatah lagi kanak-kanak itu sebelum ini aktif serta tidak pernah mempunyai sebarang masalah kesihatan.

"Bohong jika saya katakan saya tidak sedih, ada kalanya saya termenung dan menangis bersendirian di dalam kereta. Namun, apabila melihat semangatnya yang masih cuba untuk aktif, saya dan isteri mendapat kekuatan baharu untuk terus tabah.