SHAH ALAM: Pemandu lori yang merempuh 11 deretan kereta di Persiaran Mokhtar Dahari pada Jumaat lalu mengaku tidak bersalah memandu di bawah pengaruh dadah, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Malah, tertuduh, C. Agilan 51, juga membuat pengkuan sama ke atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amfetamin dan metamfetamin di kamar mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan, di hadapan Majistret Mastura Khamis, bapa seorang anak itu didakwa memandu lori dalam keadaan positif kedua-dua jenis dadah itu sehingga menyebabkan dirinya tidak berdaya lalu mengakibatkan kecederaan kepada empat pemandu berusia 17 hingga 58 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Persiaran Mokhtar Dahari di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 9 Oktober lalu.