KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak terus meningkat kepada RM34.9 bilion menerusi Belanjawan 2027, meskipun defisit fiskal negara terus menurun, sekali gus membuktikan disiplin kewangan kerajaan tidak menghalang pelaksanaan agenda pembangunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM18.7 bilion kepada Sabah dan RM16.2 bilion kepada Sarawak, peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan kepada kedua-dua negeri itu meningkat RM2.2 bilion berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan.