SHAH ALAM – Seorang parah manakala tiga lagi cedera selepas sebuah lori 10 tan yang dipandu melawan arus merempuh 10 buah kereta di lampu isyarat Alam Budiman, Jalan Mokhtar Dahari, Seksyen U10, di sini hari ini.

Kesemua mangsa yang cedera terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

Kejadian itu tular menerusi video berdurasi 26 saat yang memaparkan lori berkenaan merempuh deretan kereta di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 4.31 petang.