Putrajaya: Polis berjaya mengesan seorang lelaki tempatan yang memandu kereta secara melawan arus di susur masuk ke Lebuhraya Maju (MEX) seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, lelaki berusia 40-an itu bersama kenderaannya dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang semalam untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati pemandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah itu datang dari arah Putrajaya menghala ke Puchong.

"Apabila tiba di lokasi kejadian (pemandu) dipercayai telah terlepas laluan ke arah Plaza Tol MEX (Putrajaya). Kemudian, pemandu berkenaan dipercayai telah membuat pusingan untuk berpatah balik dengan memandu secara melawan arus bagi mendapatkan semula laluan untuk menuju ke arah Puchong," katanya dalam kenyataan hari ini.