TUMPAT: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat dalam sebuah masjid di Kampung Berangan di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 6.35 pagi.
"Maklumat yang diterima dari orang awam berhubung satu kejadian khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan.
"Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan dan terdapat cecair berwarna coklat kehijauan serta berbau kurang menyenangkan dituang pada permaidani di ruang solat.
"Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu," katanya dalam kenyataan media hari ini.






