SHAH ALAM: Sebuah lori 10 tan muatan bahan binaan dipercayai mengalami masalah brek dan hilang kawalan lalu merempuh deretan kenderaan di arah bertentangan yang sedang berhenti pada lampu isyarat merah di Persimpangan Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu menyebabkan empat mengalami kecederaan selepas lori terbabit merempuh 11 kenderaan dari arah Puncak Alam menghala ke Shah Alam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.
Katanya, seorang lelaki mengalami kecederaan kritikal di kepala, seorang cedera di bahagian perut dan seorang lagi cedera ringan. Sementara mangsa wanita mengalami kecederaan separa kritikal di bahagian kepala.






