Kuala Lumpur: Pelarian yang memasuki Malaysia selepas Mac 2023 tidak akan diberikan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), iaitu sistem pendaftaran rasmi bagi pelarian di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pertimbangan pemberian DPP hanya akan diberikan kepada pelarian sedia ada yang sudah berada di negara ini sebelum tarikh berkenaan.
Katanya, langkah itu bagi memastikan DPP tidak menjadi faktor penarik kepada lebih banyak kemasukan pelarian ke negara ini.
"Kita sudah menjangka perkara ini dan kerajaan hanya akan memproses DPP bagi 225,000 pelarian sedia ada," katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.









