Johor Bahru:" Semua anak syurga di pusat jagaan ini terutama mereka yang menjadi mangsa pengabaian keluarga kerana kecacatan serta kekurangan dialami adalah saham akhirat saya," kata Mohd Yahya Haidrus, 55.

Mohd Yahya yang juga orang kurang upaya (OKU) turut menubuhkan dan mengurus pusat kebajikan bagi membantu golongan senasib sejak sembilan tahun lalu itu berkata, pihaknya memberi perlindungan kepada 22 OKU Sindrom Down, Cerebral Palsy (CP) dan autisme berusia antara empat hingga 30 tahun.

Beliau berkata, kebanyakan penghuni di pusat jagaan di Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-kanak Kurang Upaya Negeri Johor yang beroperasi di Jalan Keembong 45, Taman Johor Jaya di sini, adalah individu yang menjadi mangsa pengabaian keluarga.