KUALA LUMPUR: Pertahanan Harimau Malaya tampak semakin kebal apabila pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City), Giancarlo Gallifuoco mengesahkan proses naturalisasinya semakin hampir selesai dan kini hanya menunggu kelulusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pemain kelahiran Australia berusia 32 tahun itu mendedahkan perkembangan berkenaan menerusi laman sosial X, sekali gus memberi bayangan penantiannya untuk menyarung jersi kebangsaan mungkin bakal berakhir tidak lama lagi.
Gallifuoco berkata, peguam yang menguruskan proses naturalisasinya sudah mengemukakan dokumen berkaitan kepada FAM dan kini hanya menunggu maklum balas daripada pasukan perundangan badan induk itu sebelum proses berkenaan diteruskan.









