PADANG BESAR: Kasih sayang terhadap anak-anak menjadi penguat semangat kepada seorang ibu tunggal untuk terus bertahan melawan kanser payudara tahap empat yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.
Salbiah Jamili, 41, dari Kampung Kubang Perun, Chuping di sini yang turut telah kematian suami sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar kembali sembuh seperti sedia kala kerana empat anaknya berusia antara 18 dan tiga tahun itu masih memerlukan perhatian seorang ibu.
Dia disahkan menghidap kanser ketika sarat mengandung anak bongsunya yang kini berusia tiga tahun dan dalam tempoh sama ketika itu terpaksa menerima hakikat kehilangan suami akibat darah tinggi di usia 46 tahun.
Katanya, meskipun dugaan menimpa, dia harus kuat demi kelangsungan hidup anak-anak yang masih bersekolah termasuk anak sulung berusia 18 tahun yang mengikuti program keterampilan kimpalan di Shah Alam, Selangor.








