GEORGETOWN: Semua sekolah di Pulau Pinang beroperasi seperti biasa, namun aktiviti luar ditangguhkan susulan jerebu, menurut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.
JPN Pulau Pinang berkata, pihaknya memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) secara berterusan di empat stesen pemantauan, iaitu Minden, Seberang Jaya, Seberang Prai dan Balik Pulau.
Menurut jabatan itu, bacaan purata IPU setakat jam 9.55 malam menunjukkan penurunan sebanyak 4.5 mata, daripada 129 kepada 124.5.
Dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, jabatan itu berkata pihaknya mengambil serius kebimbangan serta titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung kepentingan menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan ketika jerebu melanda beberapa kawasan di negara ini.






