SEDAR tidak sedar, kita sebenarnya sedang berdepan ‘bencana’ kesan negatif yang dipacu situasi politik tidak sihat iaitu politik kebencian.
Cabaran terbesar dalam memaknakan erti kemerdekaan tidak lagi sekadar mempertahankan negara dari pelbagai ancaman anasir luar malah lebih penting bagaimana negara ini mampu bebas dari percaturan politik kebencian yang menyebabkan rakyat bermusuhan sesama sendiri.
Alangkah baiknya sekiranya tenaga yang dihabiskan untuk bertelagah dan berdebat tentang perbezaan pandangan dicurahkan untuk menyelesaikan masalah.
Negara akan terus maju dan berdaya saing sekiranya suara-suara yang lantang mengkritik turut sama melontarkan idea bernas untuk membina sebuah negara yang lebih baik.






