KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mahu menghidupkan semula nostalgia dunia seni menerusi penganjuran majlis minum petang atau hi tea bersama barisan artis berpengalaman yang akan diadakan setiap bulan di Hotel Steg, di sini.
Pengerusi KARYAWAN, Datuk Khadijah Ibrahim, berkata program berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada artis berpengalaman untuk kembali membuat persembahan, malah menjadi platform mengumpul sumbangan bagi membantu penggiat seni yang memerlukan.
"Alhamdulillah, syukur kerana kita ada tempat untuk rakan-rakan seangkatan menunjukkan bakat dalam bidang nyanyian dan membawa kembali nostalgia lagu popular mereka, sambil menghiburkan penonton yang menjamu selera di sini.






