Kuala Lumpur: Selepas 32 tahun membesarkan dan melindungi anak perempuannya, bapa kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, Awang Astillah Abdullah, hari ini menyerahkan amanah menjaga puterinya kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi ucapan penuh emosi pada majlis pernikahan pasangan itu, Awang meluahkan harapan agar Syed Saddiq dapat menjaga Bella sebaik-baiknya, selain membimbing anaknya mengharungi kehidupan berumah tangga.

"Hari ini ayah lepaskan tangan kamu kepada lelaki yang insya-Allah akan menemani kamu selamanya. Tangan yang ayah pegang sejak kamu kecil, hari ini ayah amanahkan kepada Saddiq," katanya.

Dalam ucapan yang disampaikan pada majlis akad nikah itu, Awang turut meluahkan rasa bangga terhadap Bella yang tabah menghadapi pelbagai cabaran kehidupan, selain berharap anaknya terus mengecapi kebahagiaan.