KUALA LUMPUR: Hujan selepas empat hari pemergian bapa, membuatkan Mohamad Adam Nufail Mohamad Nasiruddin yang baru berusia lapan bulan, menunggu di pagar menanti kepulangan insan tersayang itu seperti kali terakhir mereka bertemu.

Perkongsian video memaparkan Mohamad Adam Nufail yang menggunakan 'walker' bayi menunggu di pagar sambil memandang luar seolah-olah menanti kepulangan bapanya dalam hujan meraih lebih 800,000 tontonan dan mengundang sebak warganet di TikTok.

Bapa bayi berkenaan, Mohamad Nasiruddin Hussin, 23, yang juga anggota Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Ipoh, Perak, 25 September lalu.

Berkongsi kisah itu, ibunya, Nurul Atikah Zamri, 23, berkata kali terakhir dia dan anak tunggalnya itu bertemu suami ialah seminggu sebelum kejadian yang meragut nyawa insan tersayang itu.