sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu Turtles enggan terus meratapi penyingkiran musim lalu apabila mempertaruhkan dua tonggak kebangsaan, Zulkifli Abd Razak dan Aidil Aiman Azwawi serta perejam Thailand, Saenkrai Dowrueang bagi memburu tiket kembali ke Liga Premier Sepak Takraw League (STL) musim depan.
Selepas dua musim beraksi dalam kelompok elit, Terengganu terpaksa turun ke saingan Divisyen Satu pada musim ini, namun kali ini tampil dengan wajah baharu dan sasaran lebih besar.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pengalaman pemain kebangsaan serta kehadiran tenaga import diyakini mampu mengembalikan pasukan itu ke pentas Liga Premier.










