Ko Lan, Thailand: Laut di sekitar pulau peranginan popular Thailand, Ko Lan, bertukar hijau pekat dan mengeluarkan bau menyengat minggu ini selepas hujan lebat serta banjir mencetuskan ledakan plankton yang menyebabkan sebahagian pelancong enggan mandi di pantai.

Kawasan air berwarna hijau pekat kelihatan terbentang di sepanjang sebahagian pesisir pantai dengan jet ski terapung di permukaan air yang bertukar warna di sekitar pulau yang terletak di bahagian utara Teluk Thailand itu.

Bagaimanapun, beberapa kawasan pesisir pantai lain tidak terjejas dengan fenomena berkenaan.

"Apa yang kita lihat dengan mata kasar sebenarnya ialah warna yang berpunca daripada sejenis plankton yang dipanggil Noctiluca," kata Arvut Munhapon, penyelidik kanan merangkap ketua penyelidikan alam sekitar marin di Bahagian Penyelidikan Sains Marin, Institut Sains Marin, Universiti Burapha.