MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, yang dikenali sebagai 'YB Beliau' mengesahkan sedia kembali bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk kemungkinan di kawasan berkenaan.

Norhizam yang juga Naib Ketua Bahagian BERSATU Hang Tuah Jaya, berkata bagaimanapun senarai calon, agihan kerusi dan kawasan yang bakal ditandinginya masih belum diputuskan pimpinan parti.

"Saya akan bertanding, tetapi kerusi mana saya tidak tahu lagi, itu pun sekiranya tersenarai.

"Saya juga terbuka untuk ditempatkan di mana-mana kawasan sekiranya itu keputusan parti, namun masih mempunyai hasrat untuk kembali berkhidmat kepada penduduk Pengkalan Batu," katanya ketika dihubungi hari ini.