PONTIAN: Lelaki berusia 52 tahun kerugian RM1.14 juta selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan sehingga 15 peratus.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Mussain, berkata siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan wanita menggunakan nama 'Fairini' menerusi aplikasi WhatsApp awal Januari lalu.

"Suspek menawarkan satu skim pelaburan didakwa mampu memberikan pulangan keuntungan dengan cepat dan lumayan iaitu sehingga 15 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan.

"Pada 8 Februari lalu, mangsa membuat transaksi pelaburan pertama sebanyak RM5,000 ke dalam akaun bank diberikan suspek sebagai percubaan," katanya dalam kenyataan.