BATU PAHAT: Sehidup semati. Ungkapan paling sesuai menggambarkan suami isteri yang maut bersama selepas kereta dinaiki bersama dua anak terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 72.5, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Felcra Sungai Kanang, Kluang, semalam.

Mislan Osmin, 54, dan isterinya, Nor Azilah A Rahman, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua anak mereka, Fatimah, 21, serta Syahida, 24, masih dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Menurut anak mangsa, Ain Zanariah, 33, arwah bapa dan ibu sentiasa bersama sepanjang masa.

"Mereka jarang berenggang, malah mereka akhirnya 'pergi selamanya' bersama-sama," katanya ditemui di rumah arwah ibu bapanya di Kampung Parit Pulai, Parit Sulong, hari ini.