KUALA LUMPUR: Malaysia dihimpit 'kemiskinan budaya' susulan kurangnya usaha agresif untuk membina jenama negara berteraskan kekayaan budaya dan peradaban, selain memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu-Islam, Institut Pemikiran Peradaban Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, berkata keadaan itu antara faktor karya, citra budaya dan warisan tamadun Melayu sukar menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya usaha bersepadu perlu digerakkan dengan komitmen semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, kedutaan Malaysia di luar negara dan institusi berkaitan.