KAHERAH: Liga Arab akan mengadakan mesyuarat luar biasa atas permintaan Palestin bagi membincangkan langkah segera memberikan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin susulan peningkatan serangan tentera dan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), mesyuarat itu turut membincangkan keperluan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan resolusi antarabangsa berkaitan status perundangan Baitulmaqdis.

Wakil Tetap Palestin ke Liga Arab, Duta Muhannad Al-Aklouk, memberitahu WAFA semalam bahawa mesyuarat itu akan diadakan di Sekretariat Agung Liga Arab, tatkala serangan tentera serta peneroka haram Israel yang bersenjata terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka semakin meningkat.