BATU PAHAT: Pengutip besi buruk berusia 18 tahun mengaku salah memukul neneknya menggunakan tali pinggang dan mengugut warga emas itu dengan parang, ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Yong Peng, di sini, hari ini.
Khairul Adam Yusof membuat pengakuan itu selepas dua tuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya, di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap neneknya berusia 75 tahun di sebuah rumah di Jalan Labis-Yong Peng, di sini, pada jam 6 petang, 6 Oktober lalu.
Tuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.








