Kuala Lumpur: Hukuman lebih berat termasuk sebatan, pelucutan harta dan tindakan mengikut Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA) perlu dipertimbangkan terhadap penjenayah penipuan dalam talian.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu bagi memastikan hukuman dikenakan setimpal dengan kerugian dialami mangsa.

"Ketika ini, hukuman dikenakan agak ringan iaitu denda RM3,000, sedangkan penipuan dilakukan membabitkan jutaan ringgit.

"Ribuan mangsa membuat aduan kepada PPIM dan ada yang mendakwa mengalami kerugian sehingga RM500,000 akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian," katanya kepada media pada Bengkel Anti-Scam Internet Selamat (BASIS) Siri 1 di Dewan Serbaguna, Villa Puteri Condominium, di sini, hari ini.