JAKARTA: Indonesia berjaya mengawal sebahagian besar kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah, dengan hanya 639.23 hektar masih memerlukan tindakan lanjut daripada hampir 130,000 hektar kawasan yang terjejas.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berkata keluasan kawasan yang masih memerlukan operasi pemadaman kini menurun kepada kurang 1,000 hektar, hasil usaha pemadaman yang menyeluruh meskipun berdepan pelbagai cabaran di lapangan.
"Saya fikir tanpa campur tangan secara besar-besaran, kita tidak mungkin dapat menangani keadaan ini, terutama ketika kita bersiap sedia melaksanakan langkah mitigasi pada masa depan," katanya dalam rakaman video yang dikeluarkan Sekretariat Presiden, hari ini.
Data yang dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) pada mesyuarat Kabinet terhad yang dipengerusikan Prabowo, semalam, menunjukkan operasi pemadaman telah selesai meliputi kawasan seluas 129,260.36 hektar, manakala baki 639.23 hektar masih memerlukan perhatian.









