MUAR: Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 14 tahun, awal bulan ini.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira pengakuan bersalah selain fakta kes yang diakui oleh tertuduh yang berusia 40 tahun itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya di sebuah rumah di kawasan tanah rancangan di Segamat, antara 3 hingga 5 Oktober lalu, pada waktu petang dan malam.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.









