SEBELUM ini, benang, jarum dan mesin jahit sinonim dengan golongan dewasa, khususnya tukang jahit.

Bagaimanapun, seiring perkembangan semasa, kemahiran itu kini turut mendapat perhatian generasi muda, termasuk kanak-kanak.

Malah, ada ibu bapa sanggup meluangkan masa dan mengeluarkan wang untuk menghantar anak mengikuti kelas jahitan selepas melihat minat mereka terhadap bidang berkenaan.

Ibu kepada pasangan kembar, Nor Izyanti Farhan Daud, 35, berkata beliau mula menyedari minat anak sulungnya terhadap jahitan selepas melihat mereka gemar menghasilkan pelbagai kraf tangan.