Musim mahasiswa menjejak kaki ke menara gading kini kembali. Pelbagai institusi seluruh Malaysia membuka pintu gerbang seluas-luasnya sebagai tanda 'Selamat Datang' kepada mahasiswa baharu.
Bukan hanya ibu bapa, ahli keluarga atau sahabat handai yang menjadi peneman mereka, tetapi mereka juga ditemani dengan pembangunan teknologi.
Ilmu tanpa amal bagai pohon tidak berbuah. Begitu juga pesanan berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kejayaan akademik yang sebenar lahir daripada kesungguhan, bukan jalan pintas. Namun begitu, pembangunan teknologi tanpa henti telah memberikan tekanan khususnya kepada ahli akademia.
Kecerdikan buatan (AI) kini menjadi teman setia mahasiswa dan ahli akademia. Dalam beberapa saat, aplikasi seperti ChatGPT, Gemini dan Claude mampu meringkaskan jurnal, menjana idea tugasan, menyemak tatabahasa dan pelbagai lagi. Namun, kemudahan ini ibarat pisau bermata dua dan ibarat barah yang merebak secara senyap jika tidak dikawal sebaiknya.









